“Mereka sentiasa ada bersama saya sejak mula-mula saya menyambung pengajian diperingkat Master hinggalah saya menyambung ke peringkat yang lebih tinggi iaitu PhD dalam bidang Clinical Nursing Practise. Cakna Palestin banyak menyokong saya terutamanya dari segi kewangan.” Ujar saudara Ali H.A Abusafia sewaktu Majlis Keraian Khas Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia bersama para penyumbang utama yang diadakan pada Januari yang lalu.

Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia yang mula beroperasi sejak 2008, kini aktif mencari bantuan dana untuk menampung kos pengajian beberapa orang pelajar Palestin yang kini sedang menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian dan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri. Terdahulu, beberapa orang pelajar tajaan Cakna Palestin telah berjaya menamatkan pengajian mereka yang mana ada diantara mereka telah kembali ke Gaza dan berkhidmat di sana.

Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia berhasrat untuk melahirkan lebih ramai pakar perubatan dari kalangan pelajar Palestin sekiranya bantuan dana yang diterima mencukupi. Rakyat Palestin di Gaza kini sangat memerlukan pakar-pakar perubatan untuk merawat para pejuang di sana yang hampir setiap hari dibom dan diserang oleh tentera rejim Israel.

Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia mengambil langkah dengan membuka peluang kepada orang ramai bagi menyalurkan bantuan untuk Tabung Pendidikan Pelajar Palestin khususnya. Sumbangan boleh dibuat menerusi akaun bank Cakna Palestin (Maybank: 5530 3803 3881) dan setiap sumbangan yang melebihi RM50 akan mendapat pelepasan cukai.